Penguin Falling Asleep

Friday 26 July 2013

Ramadhan: Rejoiceful or Regretful?

Sudah hampir sebulan jemari ini tidak bermain di atas papan kekunci komputer untuk mengisi blog ini dengan kalam indah kalam dari-Nya apatah lagi bait-bait taqwa sebagai penyuji jiwa. Kesibukan merupakan perkara biasa (dan juga alasan yang biasa), namun pertanyakan diri kita adakah sibuk itu dengan ketaatan ataukah keingkaran. Doakan saja agar diri ini tetap istiqomah di jalan-Nya.

Enough with the cheezy words. Let's go to our main topic shall we! <(^)v





"Assalamualaikum. Khaled apa khabar? Macam mana puasa?"

"Waalaikumussalam. Alhamdulillah, sihat aja. Hehe. Puasa biasa-biasa saja."

"Oyaka? Dah berapa juz al-Quran yang Khaled dah baca? Ka sibuk minum jus oren dan mangga?"

"Err.. Hehehehehehe.. Tak banyak la, baru 4 juz al-Quran."

"Eh? Sikit nya. Tak target nak khatam?"

"Tu la, dah target dah. Tapi tak terbuat. Busy la, ada assignment, quiz, project, test. Huhu."

"Hmmm... Mana boleh macam tu. Ni kan bulan Ramadhan, bulan pesta ibadah. Takkan la nak disia-siakan begitu saja~" (sambil tiru irama lagu Roti Gardenia.)

"Tu la pasal. Tapi macam mana nak buat?"

*   *   *   *   *   *   *   *   *   *

Hari ini sudah masuk Ramadhan yang ke? Siapa ingat? Haa, ke 18. Kita sudah menempuh lebih separuh daripada Ramadhan. Pelbagai cabaran dan dugaan yang kita hadapi dalam bulan ini; letih, lelah, lemah, lapar, haus, mengantuk, penat dan berbagai-bagai bentuk ujian yang perlu ditempuh. Tetapi yang menjadi persoalan, apakah bezanya bulan ini dengan bulan-bulan yang lain?

Ramai sahaja di antara kita berpuasa dalam bulan ini, tetapi masih saja prestasi ibadah mahupun ketaqwaannya sama seperti bulan-bulan sebelumnya. Ada juga yang masih tidak mahu meninggalkan maksiat mahupun perkara lagho yang diperbuatnya tanpa merasa bersalah melakukan perkara-perkara tidak bermanfaat di bulan yang mulia ini. Sekali lagi, persoalannya ialah apakah nilai bulan Ramadhan ini di kaca mata kita?

“Pada malam pertama bulan Ramadhan syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satu pun pintu yang terbuka dan pintu-pintu surga dibuka, tidak ada satu pun pintu yang tertutup, ketika itu ada yang menyeru: “Wahai yang mengharapkan kebaikan bersegeralah (kepada ketaatan), wahai yang mengharapkan keburukan/maksiat berhentilah”. Allah memiliki hamba-hamba yang selamat dari api neraka pada setiap malam di bulan Ramadhan”. 
[HR: Tirmidzi]

Terkadang kita lebih memikirkan bulan setelah Ramadhan yakni bulan Syawal di mana umat Islam di Malaysia akan menyambutnya dengan girang-gembira hinggakan terlupa Ramadhan yang ditempuh langsung tidak memberi makna kecuali lapar dan dahaga. Lagu-lagu raya sudah berkumandang walaupun Ramadhan belum pun bermula, belum cerita papan tanda yang ada di seluruh Malaysia lagi. Soalannya, bukankah bulan inilah yang paling dinanti-nantikan oleh para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in dan seluruh umat Islam sepatutnya?

Apakah kita sudah lupa kenapa kita disyariatkan untuk berpuasa? Adakah puasa ini konon-kononnya hanya sebagai syarat untuk menyambut hari raya? Ataukah sebab rakan-rakan yang lain turut berpuasa? Ataukah pula kerna boleh iftar free di masjid atau surau yang berdekatan dengan kita? Jika ditanya, pastinya kita boleh memberikan manfaat-manfaat berpuasa dari segi sains dan kesihatan. Namun adakah hanya untuk sekadar itu puasa kita?

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." [Al-Baqarah 2:183]

Ya, benar. Sepatutnya, hasil daripada Ramadhan ini ialah ketaqwaan kepada Allah SWT. Bukanlah sekadar dapat menguruskan badan atau dapat manfaat dari segi kesihatan sahaja. Dengan ini saya hendak memetik salah satu status di MukaBuku saya:

"Apakah kebimbangan utama kita pada bulan Ramadhan? Adakah ia tentang apa yang kita akan  makan untuk sahur dan berbuka puasa sahaja, ataukah kita lebih bimbang akan bagaimana prestasi ibadah kita? Adakah ia akan menjadi sama seperti sebelum ini? Ataukah lebih teruk lagi?

Setelah puasa di bulan Ramadhan mula disyariatkan pada 10 Sya'ban, satu setengah tahun selepas hijrah ke madinah, nabi kita Muhammad SAW hanya sempat bertemu dengan Ramadhan 9 kali sahaja sepanjang hayatnya. Bagaimana pula dengan kita? Kebanyakan daripada kita telah bertemu dengan Ramadhan lebih kerap daripada Baginda tetapi tidak pernah terlintas pun dalam fikiran kita untuk memanfaatkan Ramadhan denga sebaiknya.."

Wahai saudara seislamku, Ramadhan belum lagi berakhir. Kita masih ada sepuluh hari terakhir, hari menjejak di mana Lailatul Qadr; malam yang diumpamakan seperti seribu bulan; bersamaan dengan 83 tahun! Cuba kita bayangkan betapa banyaknya nilai pahala kita digandakan pada malam itu, dan cuba pula bayangkan nilai dosa jika kita bermaksiat di malam itu..

Ayuh, kuatkan larian, tumpukan tenaga untuk membuat pecutan terakhir di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Jangan kita biarkan Ramadhan ini berlalu dengan tangisan penyesalan asbab menyia-nyiakan ia, namun biarkanlah ia berlalu dengan tangisan kegembiraan asbab permanfaatan penuh yang sudah kita lakukan. 

Hari ini merupakan Nuzul Quran, hari turunnya al-Quran ke muka bumi sebagai manual kehidupan kita. Bagi yang bercuti, selamat bercuti <(^)v dan manfaatkanlah masa cuti ini untuk kita lebih mendekatkan diri kita dengan al-Quran dengan memperbanyakkan bacaan dan juga mentadabburi(menghayati) setiap ibrah yang boleh kita ambil dari kalam suci ini untuk kita sama-sama aplikasikan dalam kehidupan.

Moga bertemu lagi di Ramadhan yang akan datang. Hidupkan Ramadhan, Ramadhankan hidupmu!